Wednesday, June 24, 2009

Cerpen


DIAM-DIAM RINDU

AKU sayang padamu. Terlalu sayang. Cinta dan kasih. Aku buat apa yang disuruh. Larangannya aku hindarkan. Aku pelihara kasih sayangnya sebaik mungkin. Seboleh-bolehnya aku tidak mahu buat apa-apa yang boleh melukakan hatinya.

“Hai!”

Aku pusing muka ke kanan. Hampir tidak percaya dengan apa yang aku pandang. Lembut-lembut rasanya tanah yang aku pijak. Tanganku sejuk gementar. Dadaku sebak seperti akan meletup.

“Hai! Dari mana?”

Seakan kedengaran gementar suaraku sendiri. Shah senyum keriangan. Dia memeluk lengan Wan penuh kemenangan. Tersirap darahku melihat gelagatnya.

“Kami pergi menonton tadi,” beritahu Shah.

“Hm, baguslah. Saya minta diri dulu!”

Aku berlalu. Wan nampaknya gugup. Dan Shah tetap tersengeh-sengeh. Barangkali dia mahu beritahu dunia tentang kemenangannya merebut hati Wan dari seorang perempuan. Dari aku!

Biarlah! Sesungguhnya aku tidak mahu mengingatinya lagi. Kalau Wan sukakan Shah biarlah dia pergi untuk Shah. Perlu apa aku menyusahkan diri. Biar dia buat apa yang disukanya. Bagiku kasih Wan tidak suci. Cintanya tidak abadi. Walaupun sering diucapkan cintanya terhadapku setinggi langit. Abadi dan suci seperti dalam lagu dan filem ‘Endless Love’. Agh! itu semua pura-pura.

Barangkali ramai yang menyangka aku akan menangis. Tentu ramai yang mengagak aku akan menghempas-hempaskan diri atas katil. Mataku akan bengkak dan merah. Agh! untuk apa aku lakukan itu semua. Tak perlu ku tangiskan kehilangan Wan. Cintanya tak suci. Tak abadi. Cintanya busuk dan kotor. Hanyir dan ... agh, apa-apa saja yang busuk semuanya adalah cinta Wan!

“Min, awak senang petang ni?”

Lamunanku mati. Depanku tercegat Ad menanti jawapan.

“Kenapa?”

“Kita keluar...”

“Saya nak balik cepat!”

Dan Ad kemudiannya berlalu. Aku di tinggalkan sendirian di meja. Aku tahu, pasti dia kecewa dengan jawapanku. Sudah berapa kali dia mempelawa aku keluar bersamanya. Dan aku tetap dengan alasanku. Biarlah!
“Kesihan Ad!” Ruby di sebelah bersuara.

“Kenapa?”

“Cintanya tak berbalas!”

“Ugh!”

“Awak selalu begitu. Terlalu ego. Selalu dia ajak keluar, sesekali awak ikut apa salahnya.” Ruby meleter.
“Agh, tak senang! ” Jawapku menutup persoalan.

“Sombong!” Sergah Ruby.

Aku tahu Ruby marah dengan sikapku. Tapi aku punya pendirian. Biar Ad tahu, aku ego. Aku selalu tolak pelawaannya. Aku tidak sukakannya. Atau apa-apa saja. Aku terima. Memang aku tidak mahu dekatkan diriku lagi pada lelaki lain sesudah Wan. Bukan aku kecewa tapi aku serik. Hatiku sudah merajuk.

“Jangan sombong Min...”

“Siapa kata saya sombong!”

“Tapi awak selalu menolak pelawannya.”

“Saya malaslah nak keluar dengannya.”

“Tapi apa salahnya dia?”

“Tidak salah apa-apa. Cuma apa gunanya saya keluar dengan dia.”

“Dia tu dah lama menaruh hati terhadap diri awak.”

“Agh, malaslah nak layan.”

Ruby jeling pada ku geram. Biarlah dia marah. Aku memang suka lihat Ruby marah.Kadang-kadang pelik juga aku. Kenapa Ruby beria-ia benar menyuruh aku terima pelawaan Ad. Apa rahsianya? Kenapa dia selalu ’rekomen’ yang baik-baik tentang Ad pada aku? Aku selalu mengatakan tentang hatiku tidak dapat menerima Ad, hatiku sudah merajuk.

Sesuatu datang dalam ingatanku. Wan berkunjung dengan kemesraannya yang menghairahkan. Kadang-kadang aku senyum sendirian mengingati hari-hati bahagia yang pernah kami lalui bersama.

Matahari sudah hampir terbenam. Warna merah di kaki langit nampak cantik sekali. Aku duduk di atas pasir. Keliling adalah bayang-bayang pohon rhu yang berdaun halus. Dan Wan duduk berlunjur di sisiku. Seronoknya duduk berdua dalam suasana begini!

“Min, kenapa diam saja, bercakaplah!”

“Tentang apa?”

“Apa-apa saja.”

“Saya kagum dengan pemandangan ini, cantik!”

“Itu saja.” “Hmm.”

Wan paut bahuku. Dan kami duduk berdekatan. Terlalu dekat sehingga aku dapat merasakan aliran darahnya yang panas dalam diri aku sendiri.

“Apa perasaan awak terhadap saya sekarang?” Wan bertanya padaku.

“Saya tidak tahu. Sungguh-sungguh saya tidak tahu. Maafkan, saya tidak dapat menjawabya.”

“Jadi, saya salah anggap?” Wan bersuara tenang. “Saya ingat awak juga berperasaan seperti saya.” Suara Wan makin sayu kedengaran. “Saya teringatkan awak setiap masa. Saya tidak dapat lupakan awak!”

Aku tidak tertahan lagi melihat Wan. Mahukah aku beritahu Wan. Aku juga seperti dia. Sebenarnya aku cukup takut kehilangan Wan. Mengapa aku mesti bersembunyi lagi.

“Wan... , saya juga seperti awak. Saya... agh!” Aku tunduk memandang pasir-pasir yang putih berselerak di keliling tempat aku dan Wan duduk.

Wan angkat mukaku. Mata Wan tepat memandang kedalam mataku. Panahan mata itu cukup tajam. Sungguh tidak tertahan lagi rasanya hatiku ini.

“Min...!” Wan memeluk ku. Dan aku rasa amat bahagia sekali. Aku sudah memiliki seorang kekasih kini. Kami meterai janji kami bersama ombak. Bersama pasir.

Wan paut pinggang aku lalu kami berjalan menyusuri pantai.

Di hadapan, laut biru luas terbentang. Ombak berbuih putih berhempasan di pinggir pantai dan sesekali membasahkan hujung kakiku dan kaki Wan.

Alangkah manisnya kenangan itu. Tapi itu dulu. Kenangan dua tahun dulu. Waktu aku jadi kekasih Wan dan Wan jadi kekasihku. Umpama sepasang unggas, kami terbang riang ke awan biru. Kami hinggap di dahan yang merimbun. Kami bersayap di antara ombak-ombak pantai.

Agh, buat apa dikenang lagi. Wan sudah pergi jauh Aku sudah bunuh dia dari hidup aku. Walaupun terasa betapa sayunya berpisah dengan seorang kekasih. Tapi apa guna aku buang airmata kerana dia? Dia tidak setia.Aku kikis segala kenangan itu dari ingatan. Aku ingin cipta hidup baru. Aku ingin riang. Aku menyanyi, menari dan bersiul-siul riang. Lupa segala kedukaan.

Tapi cukupkah dengan itu saja? Sudah lengkapkah kebahagiaan dan keriangan bagi diri seorang perempuan tanpa belaian seorang lelaki?

“Min!” Ruby di sebelah bersuara lagi. Aku toleh dan buat isyarat mata.

“Ad kirim salam!”

“Waalaikumussalam!”

“Hm, begitulah!” Dan Ruby senyum. Kemudian dia datang hampir padaku.

“Besok dia tak ada, cuti!” Ruby beritahu tanpaku tanya. Tapi aku tahu, tentu Ad yang suruh dia beritahu begitu.

“Biarlah, itupun nak beritahu!”

“Nanti awak tertanya-tanya.”

“Tak mungkinlah, belum masanya, anggapan awak itu silap.”

Ruby cebik bibir dan aku dengan keluhannya.

“Min, cuba awak beritahu. Apa salahnya Ad. Dia sungguh-sungguh sukakan awak. Tapi kenapa awak buat indah tak indah saja?”

“Mana awak tahu.”

“Dia sendiri yang beritahu saya begitu.”

“Kalau dia sungguh-sungguh sukakan saya kenapa tidak dia sendiri yang cakapkan dengan saya. Kenapa mesti dengan awak?”

“Macamana dia mahu beritahu awak Min sedangkan awak tak pernah beri kesempatan untuk dia bercakap dengan awak.”

Aku diam. Imbauan zaman lampau membelai hatiku kembali. Aku nampak Wan tersenyum riang. Kemudian aku nampak pula Ad melambai-lambai. Dalam fikiranku, aku cuba bandingkan di antara keduanya.Katalah aku terima Ad, apakah Ad boleh mengembirakan hatiku dan melupakan kenangan masa lalu. Bagaimanakah bentuk kegembiraan yang akan ditunjukkan oleh Ad. Bahagiakah aku bersamanya. Sesungguhnya aku amat takut untuk kecewa lagi.

“Entahlah! Ruby. Kadang-kadang aku merajuk dan jauh hati dengan sikap lelaki.”

“Min aku tahu. Tapi cuba awak tenangkan hati awak dulu.”

“Baiklah!”

Kini aku berdiri di antara kebahagiaan yang aku cipta sendiri dan lambaian kasih Ad. Sedangkan aku sudahpun berjanji dalam diri aku. Perlukah aku hormati janji itu? Agh! rumit sekali.

Hari ini masuk hari kelima Ad tidak datang ke pejabat. Aku tidak tahu berapa hari dia bercuti. Mahu ku tanya pada Ruby, segan! Terasa pula sepinya tanpa Ad.

Aku rasa tidak sabar tunggu kepulangan Ad. Dan aku mahu beritahu sesuatu padanya. Masih sudikah Ad terima kehadiranku padanya? Hai sepinya. Apa yang mahu aku buat sekarang. Keluh kesah pun tidak ada gunanya. Paling tidak aku akan tunggu sehingga kepulangan Ad dari percutiannya. Diam-diam rupanya aku rindukan Ad.

No comments:

Post a Comment